Powered by Blogger.
RSS

Welcome to my place | Follow me

Wednesday, January 18, 2012

Keperluan Menyertai Jemaah Islam




Oleh: TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Keperluan menyertai jamaah Islam Marilah kita mengetahui kisah-kisah yang telah berlaku, disebut oleh al-Quran al-Karim supaya menjadi pengajaran khususnya kepada umat Islam sehingga hari qiamat. Di antara kisah-kisah itu ialah firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya, wahai kaumku, mengapakah kamu menyakiti aku sedangkan kamu tahu sesungguhnya aku adalah Rasul yang diutuskan kepada kamu? Apabila mereka berpaling, maka Allah memalingkan hati-hati mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”
(Surah ash-Shaf ayat 5).


Allah Taala mengutuskan Nabi Musa kepada Bani Israel untuk meminpin mereka dengan hukum-hukum Allah Taala dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman Firaun yang memerintah, kuasa besar pada masa itu. Allah Taala mengutuskan kepada Nabi Musa daripada kalangan Bani Israel dengan cara yang menakjubkan yang memang diketahui oleh Bani Israel. Ini kerana Nabi Musa berjaya menembusi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Firaun untuk menghalang lahirnya seorang Rasul iaitu Nabi Musa dengan menyembelih anak-anak lelaki daripada kalangan Bani Israel yang baru dilahirkan dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup.

Firaun tahu bahawa Nabi tersebut akan menyelamatkan Bani Isrel daripada kekejamannya dan akan menjatuhkan kerajaan. Perancangan Firaun tidak berjaya melawan kekuasaan Allah Taala. Tipu daya Firaun terlalu lemah untuk mengatasi kehendak Allah Taala untuk tetap melahirkan Nabi Musa daripada ibu dan ayahnya, bahkan menentukan Nabi Musa dipelihara dan dibesarkan di bawah mahligai dan di istana Firaun sendiri. Kemudian Nabi Musa hidup di kalangan Bani Israel dengan akhlak yang mulia, benar, amanah dan gagah berani. Allah Taala memperlihatkan tanda-tanda kerasulan Nabi Musa kepada Bani Israel melalui mukjizat seperti tongkat, cahaya yang keluar dari tangan dan lain-lain lagi. Nabi Musa akhirnya membawa keluar Bani Israel daripada bumi Mesir dengan mukjizat apabila Laut Merah menjadi lorong-lorong untuk dilalui oleh Bani Israel dan ianya juga menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya.

Seterusnya Nabi Musa memimpin Bani Israel dengan Kitab Taurat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Musa di Gunung Thur Sina untuk diajar kepada Bani Israel ketika berada dalam musafir. Kemudian Bani Israel diperintah supaya berjihad membebaskan bumi Palestin daripada kaum Jabbarin untuk dijadikan negara yang mendaulatkan syariat Allah Taala. Namun begitu Bani Israel tidak mahu.....dan tidak bersedia untuk membebaskan bumi Palestin dengan pengorbanan. Dari khasiat ini menunjukkan perjuangan para Nabi dan Rasul a.s. yang diakhiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. mencapai kemuncaknya dengan didirikan negara yang akan mendaulatkan syariat Allah Taala. Mereka tidak dapat mengalahkan kezaliman dan menghapuskannya dari bumi ini bahkan umat Islam akan sentiasa menjadi mangsa kezaliman sekiranya mereka tidak dapat menegakkan negara Islam. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda tidak terus menerus berada di bumi Makkah dan tidak bersama-sama negara Jahiliyyah Makkah dan tidak menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang sampingan.

Apabila ada peluang dengan adanya penduduk Madinah yang memeluk Islam dan mereka sanggup berkorban diri, harta dan sanggup menyerahkan tanahair untuk didirikan negara Islam maka Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah untuk tujuan mendirikan negara Islam yang di dalamnya ditegakkan syariat Allah Taala di dalam diri, keluarga, masyarakat, ekonomi dan bernegara. Itulah satu-satunya cara untuk menegakkan keadilan Allah Taala bila tidak ada lagi pemimpin yang menganggap dirinya berkuasa, boleh bertindak sesuka hati, merasa sombong dan tidak lagi dapat mengadakan peraturan dan undang-undang mengikut hawa nafsu dan sesuka hati mereka. Bagi mencapai ini semua mestilah dengan melalui negara Islam yang menegakkan syariat Allah Taala.

Tidak mungkin umat Islam berjaya menegakkan negara Islam tanpa melalui acuan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasulullah s.a.w. dengan melalui Hizbullah, golongan Allah sebagaimana terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di kalangan kamu daripada agama-Nya, nescaya Allah akan melahirkan satu gologan, Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut celaan orang-orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki, dan Allah Maha luas kurniaannya lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Maidah ayat 54).

Ini bermakna wajib ada puak yang mempunyai cita-cita Islam dan berjalan di atas dasar dan acuan Allah Taala dan RasulNya sebagaimana Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Akan tetap ada di kalangan umatku satu golongan yang tetap menegakkan kebenaran, mereka tidak dapat dihalang oleh sesiapa yang menentang mereka sehingga datang ketentuan Allah Taala. Di dalam Hadis lain, sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya: Hendaklah kamu bersama-sama kumpulan Islam dan pemimpin mereka. Apabila ada para sahabat bertanya, jika tidak ada jamaah Islam dan pemimpin mereka, jawab Rasulullah s.a.w: Kamu hendaklah memisahkan diri kamu daripada puak-puak itu semua walaupun terpaksa kamu memamah akar-akar kayu, sehingga kamu mati dan kamu tetap berada di dalam keadaan tersebut. Hendaklah ada satu golongan umat Islam, Hizbullah yang bangun memperjuangkan Islam.

Tidak mungkin seorang itu bangun memperjuangkan Islam secara seorang diri dan berjaya di dalam perjuangannya. Dan tidak mungkin seorang itu berjuang Islam tetapi melalui kumpulan yang menentang Islam. Jika ada pun yang sedemikian itu hanya akan merosakkan peribadinya dan menjahanamkan dirinya sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yamg beriman, jadilah kamu penolong-penolong agama Allah, sebagaimana berkata Isa bin Maryam kepada hawariyyun (pengikut setianya) siapakah yang akan menolong aku menegakkan agama Allah? Berkata hawariyyun "Kami adalah penolong-penolong agama Allah". Maka sebahagian daripada Bani Israel beriman dan sebahagian yang lain kufur. Maka kami membantu orang-orang yang beriman menghadapi musuh-musuh mereka. Maka jadilah mereka golongan yang mencapai kemenangan. (Surah ash-Shaf ayat 14).

No comments:

About